Wednesday, 27 May 2015

Kejuaraan Silat Olahraga 5x5 Putrajaya Sempena Hari Belia 2015

Sempena Hari Belia 2015, PESAKA telah menganjurkan Kejuaraan Silat Olahraga 5x5 Berkumpulan.  Kejuaraan ini disertai oleh 23 pasukan silat dari pertubuhan silat, negeri dan institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia.


Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) telah diwakili oleh PSGFM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PSGFM Putrajaya A dan PSGFM Putrajaya B.


Dalam kategori Putra Dewasa, PSGFM WPKL telah berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan manakala dalam kategori Campuran Remaja, PSGFM WPKL berjaya menjadi juara keseluruhan.


PSGFM WPKL telah diwakili oleh pesilat dari Kelab Cikgu Halim (KCH).



Persembahan Silat Sempena Perasmian Kejohanan OneSilat 2015

Pada perasmian kejohanan OneSilat, sempena Hari Belia 2015 di Putrajaya, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) yang diwakili oleh Kelab Cikgu Halim (KCH) telah diberi kepercayaan oleh pihak penganjur untuk membuat persembahan pembukaan kejohanan itu.


Persembahan ini turut disertsi oleh Jurulatih Antarabangsa dari Perancis Cikgu Jerome, Ketua Jurulatih Perancis Cikgu Audran dan Jurulatih Perancis Cikgu Mahery.  Mereka berada di Malaysia selama 10 hari untuk menjalani latihan intensif dan Ujian Penilaian Silat.


Persembahan selingan antara perlawanan turut dilakukan oleh Badan Pendiri PESAKA yang lain seperti Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) dan Pertubuhan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCK).


Kejohanan ini dirasmikan oleh Khairi Jamaludin Menteri Belia dan Sukan.  Turut hadir Datuk Ali Rustam dan Datuk Megat.






Thursday, 21 May 2015

Kelebihan Ilmu Persilatan yang Disusun Dengan Sistematik

PENDAHULUAN

Sepanjang 10 tahun menyelusuri pustaka keilmuan Seni Gayung Fatani, penulis telah melalui dua fasa bentuk pendidikan Silat yang dijalankan oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).

Penulis mula bergayung Fatani pada tahun 2005 di Akademi Tentera Malaysia (ATMA) yang kini lebih dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Guru Mazliza, Guru Kanan PSGFM dan Guru Kanan Kuala Lumpur, En. Halim bin Hamit.  Pada ketika itu, PSGFM menjalankan pendidikan Silat menggunakan Silibus Baharu PSGFM yang mengandungi lima peringkat iaitu Bengkung Putih, Bengkung Kuning, Bengkung Hijau, Bengkung Merah dan Bengkung Hitam.

Kemudian apabila Buku Silat (Buku Hitam) diterbitkan oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab pada tahun 2008, PSGFM mula menyampaikan pendidikan Silat berdasarkan Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002.  Kurikulum ini adalah berdasarkan Silibus Baharu PSGFM tetapi telah ditambah baik dengan menambah lagi dua peringkat menjadikan keseluruhannya tujuh peringkat di dalam tiga tahap.

Pada Tahap Dasar, ia terbahagi kepada dua peringkat iaitu Bengkung Putih dan Bengkung Biru.  Pada Tahap Menengah, ia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Bengkung Coklat, Bengkung Kuning dan Bengkung Hijau.  Manakala Peringkat Tinggi dibahagikan kepada dua peringkat, Bengkung Merah dan Bengkung Hitam.



Secara kasarnya, pelajaran Bengkung Putih pada Silibus Baharu PSGFM dijadikan pelajaran Bengkung Coklat Kurikulum Moden dan dipecahkan lagi pelajaran tersebut menjadi pelajaran Tahap Dasar iaitu Bengkung Putih dan Bengkung Biru.

Namun, penambahan peringkat melalui pecahan pelajaran tersebut bukan hanya sekadar menambah peringkat dalam sistem bengkung PSGFM.  Melalui pengamatan dan pemahaman penulis, Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab telah memperincikan pelajaran Bengkung Putih Silibus Baharu tersebut.

Penulis tidak pernah melalui fasa pendidikan Silat secara Gelanggang Tradisi Bangsal (Berbangsal) tetapi melalui pengamatan, pemerhatian dan pengalaman penulis, terdapat banyak kelebihan Kurikulum Moden berbanding kaedah berbangsal.  Ini jelas terbukti sama ada di dalam pertandingan Silat Olahraga, pertandingan Silat Melayu dan permainan Silat Pulut secara santai.

Penulis mengambil contoh pertandingan mengikut format PSGFM iaitu pertandingan Silat Melayu - pertandingan tempur seni atau lebih terkenal dengan nama Silat Pulut secara pecah regu.  Sepanjang penganjuran pertandingan ini diperingkat kebangsaan melalui pertandingan Seni Mempertahankan Diri (SMD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan selama 10 tahun, ia telah dijuari sebanyak 10 kali oleh pasukan yang dianggotai pesilat yang dilatih sepenuhnya menggunakan sistem pendidikan Silibus baharu dan Kurikulum Moden PSGFM.

Jika bermain Silat Pulut secara santai, ada pula yang berbisik sebelum ke tengah gelanggang "Jangan main Silat Melayu ya..."...

Lalu ia menjadi satu persoalan dibenak fikiran penulis kenapa pesilat yang dilatih secara sistem gelanggang tradisi bangsal tidak menyerlah sedangkan penulis sering difahamkan bahawa mereka ini lebih cekap, kreatif dan berseni dalam permainan Silat Pulut?

Hingga ada pihak mengatakan atau menegaskan bahawa pertandingan Silat Melayu ini bukan Silat Pulut (penulis akan mengetengahkan pula isu ini di dalam penulisan yang lain).

Apabila dianjurkan pula pertandingan Silat Pulut yang menilai estetika gerak, teknik dan kaedah, mereka yang dilatih secara tradisi juga dilihat gagal mempamerkan keindahan dan kekayaan kaedah dalam persembahan.

Lalu penulis teringat akan kata-kata Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab yang mendakwa dirinya "lebih tradisi" daripada mereka yang mendakwa mereka "tradisi" kerana beliau telah menyusun pelajaran tradisi menjadi satu kurikulum tanpa menjejaskan keaslian ilmu Seni Gayung Fatani tersebut.  Perkataan yang menjadi jawapan kepada penulis ialah "SUSUN".

KELEBIHAN

Kelebihan Kurikulum Moden adalah hasil pelajaran tradisi yang disusun yang mendatangkan banyak kebaikan, baik kepada pesilat, jurulatih/guru dan pertubuhan seperti:

(1) Kekayaan Kaedah.  Kurikulum Moden adalah hasil susunan kaedah Tapak Silat dan Belebat Silat yang ada di dalam Bunga Silat setiap peringkat.  Kepada pesilat yang hafal, mahir dan faham dengan kaedah setiap peringkat, pesilat tersebut akan menjadi seorang pesilat yang baik.  Mungkin itu juga antara sebab kenapa gelaran Pendekar dianugerahkan kepada mereka yang telah memakai Bengkung Hitam.

(2) Kepelbagaian Ilmu.  Walau pun pesilat belajar dari seorang guru/jurulatih, secara tak langsung pesilat telah menerima ilmu dari empat orang guru.  Ini kerana Kurikulum Moden disusun dan ditambah baik dari Silibus Baharu yang bersumberkan empat orang guru di dalam PSGFM.  Sumber keilmuan setiap peringkat adalah seperti berikut:


Peringkat 1 (Bengkung Putih) - Allahyarham  Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 2 (Bengkung Biru) - Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 3 (Bengkung Coklat) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua En. Embung Abdullah (Selangor).

Peringkat 4 (Bengkung Kuning) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Imam Mansor Ismail (Perak).

Peringkat 5 (Bengkung Hijau) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 6 (Bengkung Merah) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Ramli Abd. Rahman Tohir (Pewaris/Anak Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir, Kedah).

Untuk Bengkung Hitam, pesilat sudah diajar untuk menggabungkan semua yang dipelajarinya dalam peringkat sebelumnya.

(2) Kesesuaian dengan Sistem Pendidikan Rasmi.  Kurikulum Moden telah disusun mengikut kesesuaian pesilat sejak sekolah rendah sehinggalah dia tamat persekolahannya seperti berikut:

Darjah Empat - Peringkat 1 Bengkung Putih.

Darjah Lima - Peringkat 2 Bengkung Biru.

Darjah Enam - Peringkat 3 Bengkung Coklat.

Tingkatan 1 - Peringkat 4 Bengkung Kuning.

Tingkatan 2 - Peringkat 5 Bengkung Hijau.

Tingakatan 3 - Peringkat 6 Bengkung Merah.

Tingkatan 4 - Peringkat 6 Bengkung Merah Jalur 1.

Tingakatan 5 - Peringkat 6 Bengkung Merah Jalur 2.

Tingakatan 6/Asasi/Matrikulasi - Peringkat 6 Bengkung Merah Jalur 3.

Universiti/Dewasa - Peringkat 7 Bengkung Hitam.

Di dalam Kurikulum Moden tiada Bengkung Merah berjalur, tapi ia disesuaikan oleh Cikgu Halim Hamit supaya hanya mereka yang 18 tahun ke atas sahaja memakai Bengkung Hitam, memberi banyak masa kepada pesilat untuk menimba pengalaman melalui pertandingan, persembahan dan membantu dalam pendidikan Silat.

Tidak menjadi masalah jika pesilat bermula seawal umur 5 atau 6 tahun.  Menjadi kebijaksaan jurulatih/guru untuk menyusun pesilatnya sesuai dengan Tahap dan peringkat di dalam Kurikulum.

Sehubungan dengan itu, pesilat mempunyai masa yang lama untuk bersama dengan guru disamping dapat mematangkan ilmu persilatannya.  Pada guru atau jurulatih, ia akan menjadi sumber rezeki yang berterusan manakala kepada pertubuhan, ia akan melahirkan ahli yang setia kepada pertubuhan lalu dapat membantu pertubuhan mengembangkan lagi perkhidmatan pendidikan Silat ini.

Dari sudut ibu bapa dan guru penasihat di sekolah, mereka ingin melihat peningkatan kemajuan anak/anak murid mereka di dalam silat.  Melalui sistem bengkung yang telah disusun, ibu bapa dan guru dapat melihat peningkatan anak/anak murid mereka melalui perubahan bengkung setiap tahun.  Mereka juga dapat melihat perbezaan permainan anak/anak murid mereka melalui kemasan dan kesukaran gerak yang dapat ditonjolkan.

Dari sudut murid, perubahan bengkung boleh dijadikan motivasi untuk mereka terus mempelajari silat.  Minat semakin membara bila guru/jurulatih meminta setiap peringkat melakukan Bunga Silat dan Jurus Silat peringkat masing-masing.  Dengan cara ini membuatkan murid sedar bahawa ada lagi yang mereka perlu tahu, pelajari dan mahirkan untuk menjadi seorang pesilat yang baik.


(3) Mudah Difahami.  Hasil susunan kaedah dalam Kurikulum Moden juga, pesilat baharu didapati lebih mudah faham isi kandungan pelajaran.  Sebagai contoh, penulis mempelajari Peringkat Bengkung Putih sistem Silibus Baharu.  Sebagai ahli yang baharu/baru mula hendak belajar Silat, penulis dan rakan-rakan segelanggang mendapati pelajaran tersebut amat susah dan perlu mengambil masa yang lama (setahun) untuk benar-benar cekap.  Sebaliknya pesilat-pesilat baharu yang penulis ajar menggunakan sistem Kurikulum Moden, mereka lebih mudah memahami pelajaran Bengkung Putih (jika dalam Kurikulum Moden, telah menjadi Bengkung Coklat) kerana mereka telah diasuh menggunakan kaedah yang mudah apabila mereka berada di peringkat Bengkung Putih dan Biru sebelumnya.  Sebagai contoh pelajaran Bunga dan Jurus Silat.  Penulis hanya perlu cakap apa yang mereka perlu buat tanpa perlu ditunjuk dan mereka boleh melakukannya hanya dengan sekali buat sahaja.

(4) Perkembangan Silat di Peringkat Antarabangsa.  Jika difikirkan, kenapa orang bukan Melayu boleh terima pelajaran silat dalam Seni Gayung Fatani?  Ini kerana sistem pelajaran yang tersusun dan ada sistem bengkung yang standard.  Sistem pelajarannya yang bermula dari kaedah yang mudah sehingga ke kaedah yang lebih kompleks mumudahkan penerimaan pesilat baik yang berbangsa Melayu mahu pun bangsa asing.  Dan sistem yang tersusun ini pula mudah disampaikan kepada rakan senegara mereka tanpa mengira kepelbagaian umur.  Bangsa asing memang suka dengan sesuatu yang bersistematik.

Penulis bersama Guru PSGFM Perancis, Allahyarham Tuan Raban, dan para jurulatih PSGFM Perancis, Cikgu Jerome, Cikgu Audran, Cikgu Mahery dan Cikgu Matthius.

(5) Kejurulatihan.  Walaupun begitu, mendapat Bengkung Hitam bukanlah sesuatu yang kemuncak atau 'ultimate' di dalam Kurikulum Moden ini.  Di peringkat kejurulatihan, pesilat dikehendaki mengulang semula semua pelajaran yang ada tetapi kali ini dengan menggunakan senjata yang sesuai dengan kaedah setiap peringkat.  Pesilat juga dikehendaki mengajarkan pula Silat kepada orang lain supaya pesilat mendapat ilmu yang dia tidak akan dapat semasa dia belajar dahulu.  Dan akhir sekali, setiap pesilat dikehendaki mendalami ilmu kerohanian untuk mengimbangi ilmu dunianya (Silat) dengan ilmu akhirat (ilmu kerohanian) supaya dia benar-benar layak digelar Pendekar (orang yang lengkap).

Dari sistem pelajaran yang tersusun ini, pertubuhan akan memperolehi ramai jurulatih dan guru yang ampuh ilmu persilatanya yang mana menyumbang juga kepada pembangunan sosial masyarakat dan keselamatan negara.

Maka pada penulis sangatlah rugi dan menghairankan jika kita mengaku ahli PSGFM, menggunakan logo PSGFM dan namanya tetapi tidak mahu mempelajari apa yang ada di dalamnya yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab, Guru Utama yang kita kasihi.  Teringat penulis dengan kata-kata guru penulis, En. Halim bin Hamit, kita akan pupus seperti dinasor jika kita enggan berubah kerana dinasor pupus kerana ia tidak berubah dengan peredaran zaman.

Tepuk dada tanyalah diri masing-masing.  Usia bukan penghalang dalam menuntut ilmu.  Yang penting kita mahu dan berusaha mendalaminya.  Apa jua ilmu termasuk Silat tidak akan ada penamat dalam mempelajarinya melainkan kita mati.

Wallahualam.

Wednesday, 20 May 2015

Silat dan Ilmu Perang Orang Melayu

Dalam Tuhfat Al-Nafis ada menggambarkan tentang peperangan atau pertempuran di mana pahlawan menggunakan Silat di samping menggunakan pelbagai bentuk dan jenis senjata mengikut kesesuaiannya seperti berikut:


Shahdan: setelah selesai mensyuarat dan muafakat maka Yam Tuan Muda pun menyuruh Bugis-Bugis itu memusung.  Kemudian lalu disuruhnya langgar kubu Terampak itu lalu dikeluarilah oleh orang Siak dan orang Siantan mana-mana yang sebelah dia.  Maka beramok-amoklah dan berbedil-bedil meriam lela rentakanya, kemudian berapat bercencangkan kelewang dan pedang dan lembing, kemudiab berapat bertikam keris pendek, bercekak pinggang, sama seorang maka sangatlah ramainya perang itu kerana sama-sama tidak tidur; Anak Selangor dan Anak Siak (Tuhfat Al-Nafis: 1965. Hal 108).


Rentaka Melayu (meriam kecil, jika kini mungkin bersamaan dengan mortar).


Rentaka Melayu bermotifkan naga.


Petikan Tuhfat Al-Nafis di atas memperlihatkan suasana dalam strategi perang Melayu, ketika tempur jarak jauh mereka memuras menggunakan bedilan atau tembakan meriam lela rentaka, apabila kedua pihak semakin rapat mereka menggunakan senjata panjang seperti lembing atau tombak untuk meradak lawannya.  Apabila kedudukan lawan telah dekat mereka menggunakan senjata yang lebih pendek daripada lembing seperti pedang, sundang dan kelewang untuk mencencang lawan.  Senjata seperti keris pendek hanya digunakan ketika lebih rapat dengan kaedah tikaman.  Manakala apabila musuh telah terlalu rapat dan senjata tidak dapat digunakan atau ketiadaan senjata, mereka akan bertarung dengan Silat atau beradu tenaga dengan mengangkat atau membanting lawan ke tanah (Anuar, 2008).


Ini menunjukkan kaedah peperangan (warfare) sejak dahulu hingga kini tidak berubah kecuali kecanggihan teknologi senjata.  Jika dibandingkan dengan peperangan moden, seperti Perang Teluk (Contoh yang pernah digunakan oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab kepada penulis dan kawan-kawan yang ketika itu pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia, ATM), pihak US telah membantai Iraq menggunakan misil terlebih dahulu, diikuti dengan operasi udara dan akhirnya menggunakan infrantri untuk menawan lokasi-lokasi penting di daratan.


Allahyarham Tuan Haji Anuar juga ada bertanya kepada penulis dan rakan-rakan yang ketika itu melawat beliau di rumah selepas pentauliah sebelum melapor ke unit masing-masing, "Apa beza saya pendekar dan kamu semua tentera?".  Semua yang ada cuma melopong tanpa sebarang jawapan untuk persoalan tersebut.


 
Lalu beliau menjawab, "...Saya dan kamu diajar berperang, cuma saya dengan kaedah tradisi menggunakan senjata tradisi, sebaliknya kamu secara moden dengan senjata moden...maka samalah kita...macam kamu semua beruntung kerana ada dua kaedah iaitu tradisi dan moden...".


 
Kesimpulan yang dapat penulis buat ialah, Silat merupakan ilmu perang orang Melayu, bukan sekadar mempertahankan diri sahaja.


Manakala Tuan Haji Anuar pula menyimpulkan bahawa sejak dahulu (zaman kerajaan Melayu Tua) hingga sekarang dan akan datang, yang bertanggungjawab di dalam isu keselamatan ialah orang Silat.  Jika dahulu yang berperang ialah orang yang ada ilmu Silat, yang menentang penjajahan Portugis, Inggeris, Belanda dan Jepun juga orang Silat, yang melawan kekejaman Komunis juga orang Silat, dan ada orang Silat yang masuk tentera untuk berperang seperti Allahyarham Leftenan Adnan Saidi dan kini pegawai kadet di Akademi Tentera Malaysia (ATMA) dan kini Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diajar Silat selain ilmu peperangan konvensional.


Rujukan:

Anuar Abd. Wahab, 2008.  Silat: Sejarah Perkembangan Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden.  Bangi: Hizi Print Sdn. Bhd.

www.bing.com/image: Lela, Rentaka, Meriam.

www.bing.com: Gulf War.

Perjumpaan Penulis dan rakan-rakan pegawai muda ATM (ATMA Pengambilan 9, Intake 2003/2007) di rumah Allahyarham Tuan Haji Anuar pada tahun 2007 (Lawatan sebelum melapor ke pasukan/unit masing-masing).

Thursday, 14 May 2015

Penerbitan Buku oleh Guru PSGFM


Buku tulisan Cikgu Abd. Rahman Ismail (gambar atas sekali pada kulit buku), Guru Kanan PSGFM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Buku ini adalah tesis beliau semasa melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.  Sedang menanti pula penulisan beliau di peringkat Doktor Falsafah.

Thursday, 7 May 2015

PSGFM Dalam Terbitan Majalah Seni Beladiri

Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN dan anaknya Cikgu Amniuddin pada Seni Beladiri keluaran Januari-Februari 1998.

Cikgu Zaihan Md Isa, Pengerusi terkini PSGFM bersama Cikgu Halim Hamit, Guru Kanan PSGFM pada Seni Beladiri keluaran Februari 2015.

Cikgu Halim Hamit, Guru Kanan PSGFM WPKL pada Seni Beladiri keluaran Mac 2015.


Cikgu Yazid, Guru PSGFM dalam Seni Beladiri Edisi Jun 2015.

Cikgu Wahab, Guru PSGFM dalam edisi November 2015.