Wednesday, 22 April 2015

Ujian Penilaian Silat Kelab Cikgu Halim (KCH)

Ujian Penilaian Silat Kelab Cikgu Halim (KCH) untuk pesilat yang bergelanggang di Kompleks Muhibah Taman Nirwana dan sekolah-sekolah yang di bawah kendalian KCH untuk bengkung coklat ke atas akan dibuat pada ketetapan berikut:

Tarikh: 31 Mei 2014 (Ahad).
Lokasi: Kompleks Muhibah Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Masa: 0900H (Mohon datang awal) sehingga selesai.
Pakaian: Berbaju silat lengkap.

Harap maklum.

Tuesday, 21 April 2015

Sumber Keilmuan dalam Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002

Tahukah anda?

Setiap peringkat dalam Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002 mengiktiraf kandungan pelajaran dan amalan semua Guru Tua PSGFM.  Yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Peringkat 1 (Bengkung Putih) - Allahyarham  Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 2 (Bengkung Biru) - Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 3 (Bengkung Coklat) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua En. Embung Abdullah (Selangor).

Peringkat 4 (Bengkung Kuning) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Imam Mansor Ismail (Perak).

Peringkat 5 (Bengkung Hijau) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Peringkat 6 (Bengkung Merah) - Bunga Sembah diambil dari Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Ramli Abd. Rahman Tohir (Pewaris/Anak Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir, Kedah).


p/s - Teringat kata arwah Guru Utama, umpama belajar dengan 5 guru walaupun diajar oleh seorang guru.

Silat, Nama Silat dan Sebutan Silat

Setiap rumpun Melayu telah memberi nama seni beladiri atau Silat mengikut nama keturunan mereka seperti Silat Minangkabau, Silat Kurinci, Silat Jawa, Silat Betawi, Silat Lintau dan lain-lain.  Pada umumnya apabila disebut Silat Melayu ialah merujuk kepada Silat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.  Perkataan seni beladiri Melayu telah disebut mengikut dialek atau bahasa kedaerahan masing-masing seperti perkataan Silat atau Gayung lumrah digunakan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.  Perkataan Silek dan Gayuang di Sumatera, Penca dan Meempok di Jawa Barat.  Pencak di Jawa Tengah dan Jawa Timur, Mancak di Madura dan Baween, Encak di Bali, Mpaa Sila di Dompu dan Nusa Tenggara Barat dan Bermancek di Bulungan dan Kalimantan, Memencak di Bugis dan Sulawesi, Akmencak di Suku Mekasar serta Basilat dan Kali di Mindanou, Filipina (O'Ong Maryono, 2000).


Petikan dari buku Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden, 2008 tulisan Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.

Monday, 20 April 2015

Kenangan


Kad telefon ini saya jumpa di Muzium Telekom, KL ketika membawa rakan sekuliah dari negara China ke muzium berkenaan dalam membantunya menyiapkan tugasan berkaitan sejarah telekomunikasi di Malaysia.

Kelihatan Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN sedang meniup serunai.  Jika saya tidak silap, yang sedang bersilat, orang yang sebelah kanan ialah Cikgu Roslan Salam, Guru Kanan Selangor.

Difahamkan kad telefon ini adalah inisiatif Perlancongan Malaysia dalam mempromosikan kebudayaan negara ini.

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya mengucapkan selamat datang ke blog Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).  Blog ini ditubuhkan untuk berkongsi segala maklumat yang berkaitan dengan PSGFM sama ada di kalangan ahlinya, pengamal seni beladiri dan juga pengkaji budaya.  Walau bagaimana pun blog ini bukan blog rasmi PSGFM.  Ia wujud atas dasar sayang dan ingin melihat PSGFM khususnya dan Silat amnya untuk terus maju di masa mendatang.

Sekian dari saya.