Friday, 26 June 2015

Pakaian Silat

Artikel di bawah merupakan petikan dari buku Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya tulisan Cikgu Abd. Rahman Ismail, seorang Guru Kanan PSGFM, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang menceritakan pakaian Silat dan busana orang Melayu.





Pakaian Silat.


Pakaian bagi lelaki Melayu pada zaman tradisi dikenali sebagai baju Melayu.  Baju Melayu yang lengkap turut menjadi pakaian pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman silam yang secara tidak langsung menjadi pakaian Silat.  Petikan talibun (sejenis sajak lama yang terdiri lebih daripada empat baris, biasanya terdiri daripada enam belas atau 20 baris, yang bersajak pada hujungnya, Kamus Dewan DBP Online) ini menggambarkan pakaian lengkap lelaki Melayu.


Yang disebut pakaian lengkap
Pertama memakai destar
Kedua bercekak musang
Ketiga berkain samping
Keempat berseluar labuh
Kelima berkeris
Keenam berselempang
Ketujuh berbengkung berpending
Kedelapan berkasut kaki
Kesembilan berkambil sirih
Kesepuluh bergelang berdokoh
Kesebelas bercincin
Kedua belas bersapu tangan.

(Tenus Effendi, 1989:38)


Gambar hiasan.  Ehsan Facebook Megat Telenai.


Ungkapan talibun ini menggambarkan pakaian lengkap lelaki Melayu pada zaman tradisi.  Keris sebagai satu unsur dalam pakaian lengkap lelaki Melayu menggambarkan kepentingan ilmu bela diri bagi seorang lelaki.  Kewujudan keris pada seorang lelaki pada zaman tradisi bukanlah sebagai simbol tetapi digunakan sebagai senjata apabila perlu.  Keadaan ini menggambarkan baju Melayu merupakan pakaian yang sesuai untuk bersilat malah pakaian Melayu dianggap tidak lengkap jika tidak disertakan dengan senjata.  Kepentingan senjata pada seseorang menggambarkan kepentingan ilmu seni Silat bagi seorang lelaki Melayu pada zaman tradisi.


Gambar hiasan.  Ehsan Facebook Megat Telenai.


Pada zaman tradisi, keluar berjalan tanpa senjata umpama persiapan yang kurang lengkap.  Walau ke mana seorang lelaki itu pergi, keris tetap dibawa, cuma cara memakainya tidak sama, iaitu bergantung pada tempat yang dikunjungi.  Misalnya jika hendak ke masjid, alat-alat seperti bengkung berpending, gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai, tetapi keris tetap dipakai secara tersembunyi.

Kalau berbaju Teluk Belanga
Kain diikat dagang luar
Kepala berkopiah sahaja
Kain labuh samping ke keting
Kaki seluar bayang bayangan
Keris di pinggang tidak nampak
Itu pakaian ke masjid
Atau bertandang ke sanak saudara.

(Tenas Effendi, 1989:35)


Petikan ini menunjukkan kedudukan keris di pinggang, iaitu tidak kelihatan atau disorokkan sesuai dengan tujuan pemakainya untuk pergi ke masjid atau menziarahi sanak saudara.  Berlainan pula cara berpakaian untuk upacara rasmi di istana atau pakaian orang-orang berpangkat, keris disisipkan di sebelah kiri serta dibiarkan pada kedudukan yang boleh dilihat orang.  Kehadiran keris bukan sahaja sebagai senjata tetapi untuk menambah kesegakan perawakan seorang lelaki.  Senjata dianggap sebagai kawan dan pemiliknya perlu mengetahui ilmu seni Silat agar tidak membahayakan diri.  Tanpa kepandaian Silat, musuh dengan mudah merampas senjata dan digunakan untuk menikam pemakai senjata tersebut.

Kalau memakai Cekak Musang
Kain diikat dagang dalam
Kain labuh di bawah lutut
Pinggang memakai bengkung lebar
Keris terpampang sebelah kiri
Kepala memakai destar
Seluar labuh sampai keting
Itu pakaian raja-raja
Atau datuk dan panglima
Atau orang patut-patut
Atau orang berbangsa
Yang duduk di helat jamu
Atau majlis di balai besar.


Gambar hiasan.  Ehsan Facebook Megat Telenai.


Kedudukan keris menggambarkan status sosial pemakainya.  Contohnya, memakai keris di sebelah kiri pinggang menggambarkan pemakainya daripada golongan bangsawan.

Kalau memakai keris,
Keris tersisip di sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris terlentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai dubalang masuk gelanggang
Elok dipakai dalam hutan
Atau belayar tengah lautan
Untuk menjaga-jaga diri.

Kalau keris sampir terlangkup
Keris tidak mencari lawan
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang.

(Tenas Effendi, 1989:35)


Gambar hiasan.  Ehsan Facebook Megat Telenai.


Petikan talibun ini menggambarkan pada zaman tradisi, cara memakai keris di pinggang bukanlah semata-mata sebagai simbol atau isyarat, tetapi untuk kepentingan penggunaannya.  Misalnya jika memakai keris telentang bermakna si pemakai ingin mencari lawan.  Keris yang terlentang senang dipegang dan dihunuskan untuk menikam.  Keris terlungkup bermakna, keris tersebut belum bersedia untuk digunakan dan dipakai sekiranya keadaan di sekeliling tidak mencurigakan.  Pengarah Hikayat Hang Tuah menggambarkan Hang Tuah sentiasa mengubah kedudukan kerisnya apabila keadaan memerlukan dia berwaspada.


Maka Laksamana pun meniarap pada kaki raja seraya memakai di hadapan raja: pertama dipakainya seluar beledu hijau sampai ke lututnya, sudah itu maka berkain hijau digangsi yang bertepi  emas dipahat bersirat, diragam dan ikat pinggang khalifah tujuh belit bersurah ayat Quran dan berbaju kesumba murup bersurat doa besar-besar dan memakai keris Parong Sari.  Maka mastul pemberian Sheikh Mansor itu dipakainya.

(Hikayat Hang Tuah, 1971:313)


Gambar hiasan.  Ehsan facebook Megat Telenai.


Petikan ini menunjukkan "pakaian yang indah" pemberian raja itu terdiri daripada seluar paras lutut, samping (kain hijau), bengkung (ikat pinggang), baju, keris dan tengkolok atau mastul.  Mastul merupakan ikat kepala atau destar yang ringkas.  Oleh sebab pakaian ini digunakan untuk pertarungan, terdapat beberapa ciri fizikal dan spritual dilakukan sebagai persiapan untuk membantu pemakainya mencapai kemenangan.  antaranya seluar singkat paras lutut untuk memudahkan pergerakan, ikat pinggang yang sepanjang tujuh belit boleh menjadi perisai daripada tusukan keris lawan, ayat al-Quran yang ditulis di bengkung sebagai azimat, mastul pemberian daripada guru yang keramat dan keris dipakai di hadapan menunjukkan pemakainya mencari lawan dan mudah untuk dicabut daripada sarungnya.  Keadaan ini menggambarkan pada zaman dahulu baju Melayu memang direka untuk pakaian pahlawan dan secara tidak langsung berbaju melayu memang sesuai dipakai untuk bersilat.  Hikayat Awang Sulung Merah Muda turut menggambarkan pakaian Awang Sulung seperti yang berikut:

Seluar panjut panjang kaki,
Meratus cermin di kaki,
Bajunya baldu ainul-banat,
Dicabik sikit dijerumat,
Harganya lima keti juga,
Dikena ikat pinggangnya,
Anak cindai, anak serasah;
kainnya kain Bugis Kembayat,
Bukan kembayat zaman ini,
Kembayat zaman dahulu,
Tengkolok kampuh pelangi,
Bukan pelangi zaman ini,
Pelangi zaman dahulu,
Kerisnya sempena ganja iras,
Sebulan dagang menggalas,
Jejak ditikam mati juga,
Pedang Jenawi lantai balai,
Diam di dalam cembol gading,
Minyak bernama silompat pagar,
Sebulan dagang menggalas,
baunya ada tercium juga.

(Hikayat Awang Sulung Merah Muda, 1995:55)


Talibun ini memberikan penjelasan tentang baju Melayu yang terdiri daripada seluar, bengkung, samping, tengkolok, keris, pedang dan minyak pengasih.  Dalam set pakaian ini memang senjata tidak dikecualikan.  Petikan yang dikutip daripada puisi tradisional, sastera epik dan sastera rakyat, memberikan gambaran kepentingan senjata sebagai satu daripada komponen penting dalam pakaian baju Melayu.  Keperluan senjata sebagai satu daripada komponen baju melayu ini menggambarkan kepentingan ilmu seni Silat kepada seorang lelaki pada zaman tradisi dan secara tidak langsung menyokong pendapat bahawa baju Melayu memang sesuai dipakai untuk bersilat.

 

Gambar hiasan.  Ehsan Facebook Megat Telenai.

Catatan:
*Petikan ini diambil dari buku seperti yang dinyatakan di atas tanpa sebarang tokok tambah.

*Megat Telenai merupakan akaun Facebook yang menjual busana Melayu.  Rujuk akaun tersebut untuk lokasi kedai dan tempahan busana Melayu.

Saturday, 20 June 2015

Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (SMD) Silat Olahraga 3x3 Kuala Lumpur

Ucapan tahniah kepada Kelab Cikgu Halim (KCH) yang mewakili PSGFM WPKL ke Kejohanan SMD Silat Olahraga 3x3 anjuran PESAKA KL dan KBS WPKL yang telah berlangsung pada 13 Jun 2015 yang lalu, bertempat di Kompleks Sukan Kg. Pandan, KL.

Keputusan pertandingan adalah seperti berikut:

Dewasa Putra - terkandas di pusingan kedua.
Menang 2-1 dengan UPNM Warrior.
kalah 1-3 dengan SMK Setiawangsa.

Remaja Putra Team A terkandas di pusingan kedua.
Menang 2-1 dengan KKR.
kalah 0-3 dengan Sekolah Sukan WPKL Team C.

Remaja Putra Team B Juara Keseluruhan apabila:
Menang 3-0 dengan Sekolah Sukan WPKL Team B.
Menang 2-1 dengan Cemara Bugis (Separuh Akhir).
Menang 2-1 dengan dengan Sekolah Sukan WPKL (Akhir).

Remaja Putri Juara 2 keseluruhan selepas bertarung secara round robbin:
Menang 2-1 dengan Az-Zahra Silat Academy.
kalah 2-1 dengan Negeri Sembilan.

Untuk rekod, terdapat 23 penyertaan untuk Dewasa Putra, 12 untuk Remaja Putra dan 3 untuk Remaja Putri (Dewasa Putri lupa nak ambil data).

Team Remaja Putra membawa pulang hadiah RM500.00 manakala Remaja Putri sebanyak RM200.00

Turun dipertandingan ialah kategori Super Touch dengan hadiah RM100 untuk setiap pecahan kategori Dewasa Putra dan Putri, Remaja Putra dan Putri.

Juga berjalan serentak ialah pertandingan Wushu, Taekwando, Silamabam dan Muay Thai.

Ucapan terima kasih kepada para guru, senior dan rakan-rakan pesilat yang turut hadir memberikan semangat.

Tahniah kepada KCH, PSGFM WPKL dan PSGFM!




Hanya Hasrat