Tegas beliau, Melayu merupakan bangsa bermaruah yang akan bangkit mempertahankan nusa sehingga ke titisan darah terakhir jika ma­ruahnya dihina sebagaimana dibuktikan menerusi Himpunan Rakyat Bersatu Rabu lalu.


Katanya, pihak yang bersungguh-sungguh mahu melakukan onar terhadap negara juga jangan sesekali berfikir anak Melayu bacul serta penakut kerana darah yang mengalir dalam tubuh Melayu adalah darah kepahlawanan.


“Membujur lalu melintang patah, biar putih tulang jangan putih mata. Sekali mereka (Bersih) tampar kita sabar, tapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Kita bangun apabila maruah Melayu dicabar, apabila kita dihina, apabila pemimpin dimalukan.


“Jangan sesiapa ulangi perbuatan durjana ini (hina maruah Melayu). Orang Melayu juga ada perasaan dan hadnya,” katanya di hadapan kira-kira 20,000 pesilat sempena Himpunan Silat Pesaka Negara di Dataran Merdeka di sini malam ini.


Yang turut hadir Presiden Persekutuan Silat Negara (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam; Penasihat ­Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.


Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengisytiharkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara berkuat kuasa serta-merta, selain menyampaikan anugerah khas kepada pejuang-pejuang silat tanah air.


Pengumuman tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi kepada silat selepas sejak sekian lama seni mempertahankan diri tertua di Nusantara itu menjadi sebahagian da­ripada budaya orang Melayu.


Dalam pada itu, Najib memberi jaminan bahawa maruah orang Melayu akan terus dibangunkan serta diperkasakan oleh kerajaan tanpa meminggirkan hak dan kepenti­ngan kaum-kaum lain di negara ini yang membentuk masyarakat Malaysia.


Sehubungan itu, beliau me­minta orang Melayu agar jangan mudah termakan racun yang ditaburkan pihak tidak bertanggungjawab terutamanya menerusi alam maya kerana matlamat mereka hanya mahu melihat kerajaan terkubur.
“Pokok (kerajaan) ini tidak akan condong. Pokok ini akan berdiri tegak jika dipertahankan oleh akar tunjang kukuh hasil sokongan akar umbi dan saya percaya pesilat-pesilat Melayu adalah barisan penyokong yang setia,” katanya.



Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/melayu-bangsa-bermaruah-1.137727