GURU UTAMA


Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab
Guru Utama PSGFM
(1945 - 2009)


Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN merupakan Guru Utama PSGFM dan Pengerusi yang pertama.  Merupakan saudara tua dari lima beradik, dilahirkan di Kampung Bagan Tanjung, Sabak Bernam, Selangor pada 23 Disember 1945.  Bapa bernama Haji Abd. Wahab bin Haji Nasir bin Daeng Tanang.  Ibu bernama Nina binti Hitam bin Ahmad.

Pendidikan awal di Sekolah Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sabak Bernam dan Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur.  Pendidikan tinggi B.A. Kepujian, USM (1982), Diploma Pengajian Islam, UKM (1985) dan M.A, UKM (1987).

Beliau telah mempelajari pelbagai aliran perguruan Silat seperti Silat Harimau (En. Jamil), Cekak (Tapap), Sendeng (Haji Sohor, Jaafar dan M. Lazim), Silat Lintau (Haji Juah), Cemande (Sarbini), Helang Sewah Kuntau Betawi  dan Silat Pulut Melayu (Amran Abd. Rahman).  Pada tahun 1965 beliau telah mempelajari Solat Gayung Fatani daripada En. Embung Abdullah dan mendalami ilmu aliran Silat Melayu tersebut dari beberapa orang guru antaranya Tuan Haji Imam Mansor dan Tuan Haji Ramli Abd. Rahman.

Beliau mula diangkat menjadi guru Silat setelah memimpin gelanggang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor selatan berpusat di Kajang, Selangor (1974).  Beliau kemudiannya diiktiraf sebagai Guru Utama PSGFM dengan persetujuan empat orang Guru Tua PSGFM seperti Tuan Haji Ramli Abd. Rahman Tohir (Pewaris), Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali (Kedah), TUan Haji Imam Mansor Ismail (Perak) dan En. Embung Abdullah (Selangor).

Guru Tua Tuan Haji Ramli Abd. Rahman Tohir pernah memberi harapan dengan kata "Mu buat molek-molek".  itulah harapan mereka untuk melihat perguruan Silat yang diwariskan dengan nama PSGFM dapat terus bertahan dalam arus seni beladiri di peringkat Malaysia dan antarabangsa.  Di atas amanah tersebut Tuan Haji Anuar Abd. Wahab terus berusaha dengan gigih membangunkan dan mengembangkan Silat Melayu seperti yang diamalkan oleh PSGFM dari yang serumpun dan sebenih dengannya.

Beliau berjaya membawa Silat Melayu melalui PSGFM menjadi anggota bertaraf ahli Badan Pendiri PESAKA Malaysia.  PSGFM menyumbang kepada pembangunan PESAKA Malaysia dan beliau secara langsung turun ke gelanggang membangunkan silat olahraga, silat seni, senam silat, muzik Silat baku Malaysia dan Kurikulum Seni Silat Malaysia.

Bagi menyatukan kaedah pengajaran dan pembelajaran Silat, beliau merupakan tokoh yang berjaya meningkatkan pendidikan Silat Melayu tradisi gelanggang bangsal kepada Kurikulum Baru PSGFM dan seterusnya sebagai pengasas dan penyusun Kurikulum Seni Silat Malaysia.  Setelah PESAKA Malaysia mengetepikan Kurikulum Seni Silat Malaysia bagi memberi laluan kepada aktiviti dan program pencak Silat, maka kurikulum Silat tersebut dipulangkan kepada beliau dan diperturunkannya kepada PSGFM dengan nama Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002.

Tanggungjawab utama Guru Utama ialah kepada ilmu Silat PSGFM dan yang sehubungan denganya.  Atas tanggungjawab tersebut, beliau terus membangunkan Silat Melayu.  Walaupun PSGFM menggunakan berbagai bentuk kurikulum Silat, tetapi keaslian Silat Melayu terus dikekalkan.  Antara tindakannya ialah membebaskan kurikulum Silat dan isi kandungan pelajaran Silat daripada mengambil, mencampur, menggabung atau memadu ilmu Silat dengan mana-mana ilmu seni beladiri bukan Silat.  Tanggungjawab lain ialah melahirkan guru Silat dan pakar Silat untuk menjamin kekuatan masa depan Silat Melayu sebagai seni beladiri atau Silat Malaysia.  Mempelbagaikan aktiviti dan program Silat bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran bersilat.  Memperkenalkan Silat Malaysia di peringkat antarabangsa dengan mewujudkan jurulatih Silat yang dapat mengembangkan Silat di negara mereka sendiri.

Beliau bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai negara Silat dan pusat pembangunan Silat di peringkat antarabangsa.  Bagi tujuan tersebut beliau mewujudkan satu kurikulum Silat dapat menjadi dasar mewujudkan sukatan pelajaran Silat Malaysia untuk membantu guru dan jurulatih Silat ke arah tujuan mengembangkan Silat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Fakta ringkas mengenai Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN:

(1) Berjaya mengasaskan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dan mendaftarkanya pada 19 September 1976 yang berjaya menyatukan pengamal Silat dan para guru Silat aliran Melayu dari kumpulan Syeikh Abdul Rahman Tohir dan lain-lain Silat yang dikenali sebagai Silat Pulut atau gayung Pulut.

(2) Berjaya memertabatkan Silat Melayu setanding dengan seni beladiri luar negara melalui peningkatan kaedah pendidikan Silat tradisi gelanggang bangsal kepada Kurikulum Silat yang telus dan setara yang mengekalkan keaslian Silat Melayu.  Antara hasilnya ialah:

- Juara Keseluruhan dalam Kejihanan Silat kebangsaan pada tahun 1991, 1992, 1994 dan 1995.

- Juara dalam kategori Persembahan Kumpulan di 1st International Martial Arts Games (IMGC) di Pyongyang, Korea Utara pada September 2004.

- Juara dalam kategori Persembahan Kumpulan di World Kung Fu Wusyu Championship, Prugia Italy pada 13 hingga 15 Mei 2005.  Kejuaraan ini disertai oleh 40 buah negara daripada 14 jenis seni beladiri terbaik di dunia.

- PSGFM berkembang di beberapa negara seperti Perancis, Austria, Switzerland, German, New Celdonean, Ireland, Norway dan Thailand.

(3) Penglibatan beliau dalam PESAKA menjadikan PSGFM sebagai ahli Badan Pendiri PESAKA Malaysia.  Telah terlibat secara langsung di peringkat kebangsaan seperti:

- Kursus Jurulatih dan Wasit Juri Silat Olahraga (1984 hingga 2004).

- Kursus Jurulatih dan Wasit Juri Silat Seni (1991 hingga 2003).

- Melatih Pasukan Silat Olahraga dan Silat Seni peringkat antarabangsa.

- Telah menghasilkan Jurus Wajib (Regu) untuk Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada tahun 1996.

- Mewujudkan Manual Jurulatih Silat Olahraga Tahap I dan II.

- Pengerusi Teknik Kejuaraan Silat Sedunia Kuala Lumpur pada tahun 1987.

- Pengerusi dalam menyusun dan mewujudkan Muzik Baku Malaysia pada tahun 1991.

- Hakim Pergendangan Silat (Muzik Baku) di Kedah pada tahun 2002 hingga 2004.

- Pengerusi Senam Silat.

- Pengerusi, pengasas, penyusun dan penyampai Kurikulum Silat Malaysia kepada 200 guru Silat dari pelbagai aliran perguruan di Malaysia pada tahun 2002 hingga 2005.

- Ahli Dewan Perguruan PESAKA Malaysia.

- Ahli Dewan Perguruan PESAKA Negeri Selangor.

- Melaksanakan Kursus Jurulatih dan Hakim Silat Seni Sekolah-sekolah Malaysia di Maktab Teknik Kuala Lumpur.

- Pengerusi Teknik Silat Olahraga Sukan SEA ke 14 di Kuala Lumpur.

(4) Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa:

- Persembahan Silat dalam Sukan SEA 1979 di jakarta.

- Persembahan Silat dan bengkel Silat di Perancis.

- Melatih pasukan Thailand dan Vietnam dalam Kejuaraan Silat Sedunia dan Sukan SEA.

- Seminar dan bengkel Silat di peringkat antarabangsa dan mengembangkan Silat di beberapa buah negara.

- Setiausaha penaja untuk penubuhan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada tahun 1979 di jakarta, Indonesia.

- Pengerusi Dewan Sesepuh PERSILAT.

- Dewan Hakim/Sesepuh Silat Seni, Beladiri dan Olahraga PERSILAT.

- Terlibat dalam persembahan 11 seni beladiri terbaik dunia di 15 kota German pada tahun 2004.

(5) Telah menulis dan menerbitkan beberapa buah buku seperti:


- Buku Silat Olahraga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1987.


- Buku Teknik Dalam Silat Melayu terbutan DBP pada tahun 1992.



- Buku Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden pada tahun 2008.

(6) Turut menulis Kurikulum Silat, Sukatan Pelajaran, Rancangan Mengajar, Ujian Penilaian Silat untuk Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama PESAKA Malaysia.

(7) Hasrat beliau untuk membangunkan Silat iaitu Silat melayu asli tempatan atau seni Silat Melayu tradisi Semenanjung Tanah melayu dari yang serumpun dan yang sebenih dengannya yang dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut telah tercapai pada tahun 2002.

(8) Hasrat beliau untuk melihat Malaysia mempunyai Silat asli versi Malaysia bagi mengukuhkan pengiktirafan bahawa Silat sebagai seni beladiri rasmi malaysia yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara telah tercapai pada tahun 2002.


Rujukan:

Anuar Abd. Wahab, 2008.  Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden.  Bandar Baru Bangi: Hizi Print Sdn Bhd.

Allahyarham Anuar Abdul Wahab, www.senigayungfatani.com

No comments: