KURIKULUM SILAT

PENDAHULUAN

Sejak tahun 2002, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) telah menggunakan Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002 dalam pendidikan silatnya.  Kurikulum ini telah disusun oleh Guru Utama PSGFM, Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN,  yang mana merupakan kurikulum Silat yang pertama pernah diwujudkan di dalam dunia persilatan Melayu yang dapat mengekalkan rahsia dan keaslian Silat Melayu versi Malaysia.


PERUBAHAN KURIKULUM SILAT PSGFM

Sejak didaftarkan PSGFM telah melalui tiga peringkat kurikulum silat iaitu bermula dengan kurikulum silat Melayu tradisi gelanggang bangsal (1976 - 1986).  PSGFM telah meningkatkan mutu pendidikan silat Melayu tradisi gelanggang bangsal kepada Kurikulum Baru PSGFM (1986 - 2002).  Pada 2002 PSGFM mengamalkan kurikulum seni silat Malaysia sebagaimana yang dipersetujui antara Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa), PESAKA Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.  Pada tahun 2006 PSGFM membangunkan kurikulum silat yang dikenali sebagai Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002 berdasarkan kurikulum seni silat Malaysia dan mengekalkan kandungan pelajaran atau keaslian silat Melayu Tradisi.


LATAR BELAKANG

Pada 28 Mac 2002, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia telah bermesyuarat untuk membincangkan penyelarasan Kurikulum Silat Seni dalam program pembangunan Seni Silat di sekolah-sekolah melalui Kertas Konsep Pelaksanaan Perkembangan Silat di Sekolah-Sekolah oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, menyatakan program Silat dalam masa 15 tahun yang dibahagikan kepada 3 fasa; fasa1 tahun 2002 hingga 2006, fasa 2 tahun 2007 hingga 2011 dan fasa 3 tahun 2012 hingga 2015.

Pada kursus pertama Jurulatih Silat Seni yang pertama, majlis mesyuarat telah mempertanggungjawabkan kepada Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN menyediakan manual Jurulatih Silat atau kurikulum Seni Silat Malaysia dan melaksanakan Kursus Seni Silat Malaysia yang telah dihadiri oleh guru Silat dari pelbagai perguruan Silat di Malaysia.

Apabila kurikulum ini dipulangkan semula kepada pengasas dan penyususnya, maka Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN telah memperturunkan kurikulum Silat ini kepada PSGFM.  Beliau telah mengemaskini kurikulum tersebut dan diperturunkan kepada PSGFM.


SUKATAN PELAJARAN

Sukatan pelajaran telah dibahagikan kepada tujuh peringkat dan setiap peringkat terdiri daripada tujuh tajuk.  Tahap, peringkat, bengkung dan gelaran adalah seperti berikut:




Pesilat yang telah mencapai peringkat ketujuh atau peringkat Tinggi boleh mengikuti latihan Kejurulatihan Silat untuk menjadi Guru Silat dan diperturunksn ilmu peringkat tinggi.  Berikut diperlihatkan tahap, peringkat, bengkung dan gelaran bagi mengiktiraf tanggungjawab pelaksanaan perkhidmatan pendidikan Silat.



TAJUK PADA TUJUH PERINGKAT

Setiap peringkat mengandungi tujuh tajuk pelajaran iaitu:

(1) Bunga Silat - Asas gerak.

(2) Jurus Silat - Jenis serangan dan belaan.

(3) Belebat Silat - Jenis Sambut yang dikembangkan

(4) Tapak Silat - Jenis sikap pasang dan gerak.

(5) Buah Silat - Jenis pukulan dan sambut.

(6) Tempur Seni - Kemahiran Tempur Seni Tradisi.

(7) Tempur Beladiri - Aplikasi pukulan dalam tempur.

Setiap pesilat yang telah habis ketujuh-tujuh tajuk akan melalui Ujian Penilaian Silat.


UJIAN PENILAIAN SILAT

Ujian Penilaian Silat ini dikenakan kepada pesilat yang mengikuti pendidikan Silat berdasarkan Kurikulum Silat Moden Piawai 2002.  Penerimaan pelajar Silat digantikan 'pengeras' kepada Yuran Pengesahan Belajar Silat dan pesilat yang menyelesaikan pelajaran Silat pada peringkat berkenaan, 'pengeras bertamat' digantikan dengan Yuran Ujian Penilaian Silat dikenali sebagai 'Ujian Tamat Peringkat".  Pesilat yang berjaya akan diberikan "Sijil Tamat Peringkat" berkenaan dan boleh mengikuti latihan Silat peringkat selanjutnya.

Ujian Penilaian Silat setiap peringkat akan dijalankan oleh Pegawai Ujian PSGFM yang disahkan oleh Guru Utama PSGFM.  Tujuan Ujian Penilaian Silat di antaranya ialah:

  1. Memantau mutu pengajaran dan pembelajaran Silat dalam perguruan mencapai mutu yang sebenarnya.
  2. Memantau pencapaian pesilat pada aras yang dikehendaki.
  3. Memberi pengesahan kepada pesilat untuk mengikuti peringkat berikut dan boleh memakai bengkung dan persijilan PSGFM.
  4. Menentukan kualiti dan keaslian Silat Melayu terjaga dengan baik.

No comments: